Follow me on:

Instagram

2016-11-10

Tentang rezeki: Sakura di musim luruh.



Leka kami bersiar-siar di dalam kawasan Tokyo Imperial Palace. Luas sungguh kawasan istana lama itu. Selepas duduk berehat dan berpiknik seketika di bawah teduhan pokok, kami berangkat ke pintu keluar. Pintu itu juga yang kami masuk tadi.

Seorang oba-san (makcik) Jepun sedang merenung sesuatu di pokok di sebelah kiri kami. Daunnya tak banyak. Malah sudah hampir 'botak' dan kering dahan dan rantingnya.

Kami mengalih pandangan ke pokok. Memerhati betul-betul. Dari jauh kelihatan seperti ada bunga-bunga kecil. Putih atau mungkin juga merah jambu. Cahaya matahari sedikit menyilaukan mata.

Saya menghampiri bunga di ranting pokok. Dalam hati ada taman. 'Betulkah ini?'

Saya renung tanpa berkata apa-apa. Saya toleh melihat muka oba-san. Beliau tersenyum. Wajahnya yang jelas kagum dan gembira terpancar di dalam senyumannya.

"Sakura desu-yo! Hontou kirei-desu ne! (Bunga Sakura lah! Cantik betul!)," ujarnya tanpa dipinta.

Saya angguk. Kagum. Rasa bertuah dapat melihat sakura lagi. Di luar musim bunga!

Oba-san menyambung ungkapan yang saya tak dapat fahami. Mungkin menyatakan kepelikan bunga yang muncul di musim luruh. Saya pandang, angguk dan senyum saja.

Saya menoleh pada rakan-rakan, "Bunga Sakura ini menanti kalian datang!"

Apa lagi, semua pun sibuk snap gambar. Rezeki yang tidak disangka-sangka. Sungguh, perancangan Tuhan itu yang terbaik! Padahal tadi masuk tak perasan langsung!

Yusraa Ksm
-jom belajar mensyukuri setiap rezeki

2016-10-31

Bila pintu hati diketuk: saya dan Shizuoka Muslim Association

Konbanwa!



Hari ini berpeluang berjumpa Puan Miwa, Ketua Pengurus untuk Shizuoka Muslim Association dan Musolla Shizuoka. Wanita berhati cekal ini mempunyai kisah menarik di dalam liku-liku bergelar saudara baru di awal penghijrahannya.

Tepat jam 10.00 pagi tadi beliau muncul menyapa dari jauh. Dengan senang hati mereka menjemput saya ke musolla yang mereka bangunkan di bandar Shizuoka. Musolla terletak di tingkat empat bangunan kedai Aoi Sky Building.

Ada perkataan Bismillahirrahmanirrahim ditulis di dalam tulisan jawi di papan tanda di tepi jalan. Di bangunan sebelah ada drug store atau farmasi.

Beliau dan suami, Encik Yassine serta beberapa orang di dalam komuniti minoriti Muslim sedang giat berusaha untuk memperkukuh dan mengumpul dana bagi Tabung Masjid Shizuoka.

Harga tanah di Jepun memang sangat mahal. Bayangkanlah kalau sewa satu bilik kecil pun dah mencecah RM3000 sebulan, berapa pula sewa musolla di bangunan itu? Belum bercakap mengenai membina masjid.

Mereka juga ada menganjurkan program-program lain seperti memberi pendekatan tentang Islam melalui lawatan ke sekolah-sekolah. Kebanyakan sumber bantuan mereka perolehi daripada pelajar-pelajar universiti dan komuniti Indonesia di sana.

Tadi, sempat juga menolong 'last touch up' untuk aktiviti menghantar bantuan pakaian ke Syria. Berkotak-kotak banyaknya.

Puan Miwa memang orang Jepun, manakala suami beliau berasal dari Morocco. Banyak yang dibualkan. Paling menarik bila mendengar bagaimana pintu hati Puan Miwa 'diketuk' hidayah dari Tuhan.

Terima kasih kepada mereka yang sudi menghulurkan sumbangan kepada dana tabung membina masjid. Tak kisah berapa jumlahnya, sangat bermakna untuk membina ummah.

Kata Encik Yassine, "Allah pasti janjikan masa yang sesuai. InsyaAllah pasti menjadi kenyataan. Hari itu pasti tiba."

Mari kita sama- sama mendoakan supaya perancangan dan pembinaan masjid di bumi Shizuoka berjalan lancar dan menjadi kenyataan.

Yusraa Ksm
- Pintu hati diketuk kembali ke sini. Lagi. Masih membina impian besar. Satu hari nanti, mungkin atau pasti? Kalian rasa?


2016-10-26

Transit: On the way to Narita Airport.

Gambar tiada kena mengena.


Penerbangan ke DMK, Bangkok hanya mengambil masa dua jam. Kami tiba jam 6.00 petang waktu tempatan. (Waktu Bangkok lewat satu jam.)

"Masih awal." Itu kata kami.

Penerbangan seterusnya ialah pada jam 11.45 malam. Ada banyak masa lagi. Di ruang transit di dalam, kami keliru kerana diberitahu perlu keluar sebab tiada boarding pass. Keluar ke kaunter check- in, kemudian masuk lagi. Apakah?

Keluar bermaksud perlu beratur dan cop passport. Setelah selesai, kami berjalan- jalan mencari kedai makan halal yang diceritakan di dalam carian blog. Hampa. Tak jumpa langsung kedai makan halal. Kami putuskan untuk makan kentang goreng dan pineapple tart saja di McD di tingkat atas.

Pusing bukan main lama lagi cari kedai makan yang tak wujud. Orang putih kata, "Taking our own sweet time." Gitu. Bila dah siap makan, kami cuma ada 1 jam 45 minit sahaja untuk check- in.

Kami bergegas turun ke kaunter check- in. Kaunter yang tiga jam setengah tadi belum buka. Tadi, hanya ada enam orang duduk di lantai, menunggu. Tadi, kami lalu buat tak tahu. Itu tadi...

Sekarang, kami sangat terkejut bila kawasan untuk check- in AirAsia sesak. Dia punya beratur dah berapa kali lipat. Semua yang naik AirAsia ke semua destinasi berkumpul untuk check-in di tempat yang sama. Kalian bayangkanlah.

Haha. Tak gelabah? Masa yang tinggal berapa lama saja. Rasa macam tak sempat kalau beratur macam tu punya gaya.

Tapi, saya beratur juga. Pergerakan ke depan sangat lambat. Nora tinggalkan saya dan bergegas ke hadapan.

"Cari mana- mana kaunter untuk bantuan segera," katanya.

Selang sepuluh minit, Nora datang lagi. (Eh, itu macam iklan Tora datang lagi!) Haha.

Nora datang ke arah saya, memberitahu, "Yus, jom kita pergi ke depan. Di situ boleh check-in."

Ok, harapan dah ada. Tapi sekejap kemudian muka dia berubah risau. "Tapi beg kita ni macam mana?"

'Ah... sudah. Beg!' Masing- masing memang tak beli langsung check- in luggage. Hajat hati nak tambah di DMK. Tapi, ingat tak tadi kami mengalami masalah online check-in? Kami sekarang memang zero harapan untuk beli had check-in luggage.

Beg yang saya bawa, saya agak-agak beratnya dalam 10 kg memang ada. Bawa apa yang berat sangat entah? Haha. Beg Nora, ringan sedikit dari saya.

Hajat hati nak sorok satu beg tak kesampaian. Hahaha. Makanya, salah seorang perlu bayar lebihan had beg dengan harga 120 Baht sekilo. Kalian kiralah sendiri kalau kena bayar 14 kg.

Encik di kaunter check-in mempamerkan muka 'senyum kasihan'. Sempat lagi bagi nasihat, "Lain kali kamu boleh tambah extra-luggage sewaktu online check-in. Jauh lebih murah..."

Kami hanya mengangguk pasrah. Dah tahu pun. Bayar sajalah...! Segera angkat kaki, berjalan laju menuju pintu perlepasan.

Jadi, berbaloikah transit kali ini? Kalau namanya pengalaman, tiada tanda harga. Bukan rezeki kami pada beg terlebih muatan, rupanya Tuhan nak bagi rezeki pada pengalaman lain. Lain kali jangan buat lagi. Haha.

Dan rezeki kalian dapat baca cerita yang entah apa-apa ini. Hahaha.

Terima kasih sudi baca.

Sekian,

Yang benar,
Padan muka aku. Haha