Bila pintu hati diketuk: saya dan Shizuoka Muslim Association

Konbanwa!



Hari ini berpeluang berjumpa Puan Miwa, Ketua Pengurus untuk Shizuoka Muslim Association dan Musolla Shizuoka. Wanita berhati cekal ini mempunyai kisah menarik di dalam liku-liku bergelar saudara baru di awal penghijrahannya.

Tepat jam 10.00 pagi tadi beliau muncul menyapa dari jauh. Dengan senang hati mereka menjemput saya ke musolla yang mereka bangunkan di bandar Shizuoka. Musolla terletak di tingkat empat bangunan kedai Aoi Sky Building.

Ada perkataan Bismillahirrahmanirrahim ditulis di dalam tulisan jawi di papan tanda di tepi jalan. Di bangunan sebelah ada drug store atau farmasi.

Beliau dan suami, Encik Yassine serta beberapa orang di dalam komuniti minoriti Muslim sedang giat berusaha untuk memperkukuh dan mengumpul dana bagi Tabung Masjid Shizuoka.

Harga tanah di Jepun memang sangat mahal. Bayangkanlah kalau sewa satu bilik kecil pun dah mencecah RM3000 sebulan, berapa pula sewa musolla di bangunan itu? Belum bercakap mengenai membina masjid.

Mereka juga ada menganjurkan program-program lain seperti memberi pendekatan tentang Islam melalui lawatan ke sekolah-sekolah. Kebanyakan sumber bantuan mereka perolehi daripada pelajar-pelajar universiti dan komuniti Indonesia di sana.

Tadi, sempat juga menolong 'last touch up' untuk aktiviti menghantar bantuan pakaian ke Syria. Berkotak-kotak banyaknya.

Puan Miwa memang orang Jepun, manakala suami beliau berasal dari Morocco. Banyak yang dibualkan. Paling menarik bila mendengar bagaimana pintu hati Puan Miwa 'diketuk' hidayah dari Tuhan.

Terima kasih kepada mereka yang sudi menghulurkan sumbangan kepada dana tabung membina masjid. Tak kisah berapa jumlahnya, sangat bermakna untuk membina ummah.

Kata Encik Yassine, "Allah pasti janjikan masa yang sesuai. InsyaAllah pasti menjadi kenyataan. Hari itu pasti tiba."

Mari kita sama- sama mendoakan supaya perancangan dan pembinaan masjid di bumi Shizuoka berjalan lancar dan menjadi kenyataan.

Yusraa Ksm
- Pintu hati diketuk kembali ke sini. Lagi. Masih membina impian besar. Satu hari nanti, mungkin atau pasti? Kalian rasa?


Comments

Popular posts from this blog

An interview with my Italian friend on Italy lockdown「イタリアのロックダウン: イタリア人の友達とインタビュー]

Sales 12.12 Ebook Content untuk membantu anda membina crowd

11.11 Sales Combo E-book Content!